IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

Aktiviti

 
 
 
 
Artikel Terkini

Misi Tak Mustahil : Ramadan Yang Super

Email

 Hari berganti hari. Masa kian berlalu tanpa meninggalkan jejak sedikit pun. Penggal kedua Ramadan juga semakin menghampiri penghujungnya. Ramadan yang super adalah apabila kita berjaya melalui Ramadan dengan penuh ketakwaan.

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rugi bagi mereka yang berada dalam bulan Ramadan tetapi Allah tidak mengampuninya."

Jadi, bagaimana dengan amal kita? Adakah kita benar-benar memanfaatkan anugerah masa dan bulan yang mulia ini sebaiknya? Bagaimana pula dengan semangat kita? Adakah masih bertenaga seperti pada awal Ramadan ataupun hampir-hampir layu dek panjangnya bacaan imam dalam solat sunat tarawih?

 

Walau apa pun perasaan dan konflik jiwa yang kita alami saat ini, masih belum terlambat untuk kita mula kembali dan perbaharui hidup kita. Tiada istilah terlambat dalam kamus kehidupan melainkan sewaktu ajal menjemput. Jadi, tetaplah optimis dan mula merancang kembali jadual harian kita agar terus bersemangat sehingga ke detik-detik akhir Ramadan dan berterusan juga pada bulan-bulan yang seterusnya. Marilah kita bersama berusaha bersungguh-sungguh dalam mengumpul pahala yang melimpah-ruah hasil daripada kasih sayang Allah kepada kita.

Di sini ingin saya kongsikan beberapa tips bagaimana untuk mengekalkan Ramadan yang super. Semoga dengan berbekalkan tips ini, Ramadan kita kali ini menjadi lebih baik daripada Ramadan-Ramadan yang lalu. Mari kekal bersemangat!

1. Niat.

Sesungguhnya setiap amal itu bermula dengan niat. Niat ialah perkara yang sering dipandang enteng kerana kita sudah biasa mendengarnya berkali-kali. Namun pada hakikatnya ia merupakan asas yang terpenting dalam melakukan sesuatu amalan. Sentiasalah memperbaharui dan memperbanyak niat.

2. Memanfaatkan sepenuhnya kelebihan bulan Ramadan.

Jadikanlah kebiasaan dalam kehidupan kita untuk saling mengingatkan ke arah kebaikan. Berkumpul bersama untuk mendengar tazkirah selepas subuh ataupun menghadiri kuliah-kuliah agama agar kita terus bersemangat dalam merebut dan menghargai kelebihan-kelebihan ini. Antara kelebihan berpuasa pada bulan Ramadan ialah:

Daripada Abi Said al-Khudari RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya, "Barangsiapa yang berpuasa sehari di jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan) 70 tahun." (HR al-Bukhari)

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda, maksudnya, "Tiga orang yang doanya tidak tertolak: Orang yang berpuasa sampai dia berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi." (HR at-Tirmizi)

Banyak lagi kelebihan dan keistimewaan bagi orang yang berpuasa lagi-lagi pada bulan Ramadan. Maka, apa lagi yang kita tunggu?

3. Azam Ramadan.

Acap kali Ramadan menjadi satu titik tolak bagi kita untuk berubah ke arah kebaikan. Sebelum Ramadan bermula lagi kita sudah senaraikan sifat-sifat buruk yang kita cuba untuk buang. Cuba buka kembali azam tersebut dan lihat hasilnya setelah dua minggu berpuasa. Sekiranya tiada perubahan, mulakanlah dengan sekecil-kecil azam seperti menyebarkan salam, senyum kepada orang yang tidak dikenali, bersedekah setiap hari, dan banyak lagi kebaikan yang nampak kecil tapi memberi ganjaran yang berganda di akhirat kelak.

4. Persekitaran yang membina.

Persekitaran adalah antara elemen terpenting dalam memastikan kita terus bersemangat dalam menghadapi Ramadan ini. Banyakkan ke masjid dan imarahkan rumah dengan alunan zikir dan bacaan al-Quran.

5. Memanfaatkan penggunaan planner.

Muslim yang berjaya ialah muslim yang bijak merancang harinya. Masih belum terlambat untuk kita merancang kembali Ramadan kita yang masih berbaki. Contohnya, sebelum tidur, ambil masa 15 minit untuk muhasabah hari anda dan rancang jadual untuk esok hari. Senaraikan perkara-perkara penting yang ingin anda capai dalam jangka masa pendek dan panjang. Lebih SUPER lagi, senaraikan amalan harian yang anda ingin capai. Contohnya seperti habiskan al-Quran 1 juzuk sehari, istighfar 100 kali, dan memberi makan kepada jiran.

6. Doa.

Doa merupakan senjata kaum muslimin.

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah bersabda, "Barangsiapa yang ingin Allah menerima doanya pada masa kesusahan dan malapetaka hendaklah sentiasa berdoa semasa senang dan gembira." (HR Tirmizi)

7. Sedekah.

Dengan membantu orang-orang susah, kita dapat menimbulkan keinsafan dalam diri. Rasulullah sangat menggalakkan umatnya untuk bersedekah walaupun hanya separuh buah tamar. Sedekah merupakan saham yang dapat membantu kita di akhirat kelak. Ia tidak merugikan kita walau sedikit pun. Sedekah juga merupakan lambang kesyukuran atas nikmat Allah dengan berkongsi kebahagiaan kita dengan orang lain.

Baginda SAW bersabda, "Sedekah itu memadamkan kemurkaan Allah sepertimana air memadamkan api."

 Demikianlah beberapa tips yang dapat saya kongsikan dengan kalian semua. Sememangnya terdapat banyak lagi tips dan cara-cara lain yang dapat kita usahakan. Apa yang penting, usahakan agar Ramadan kita kali ini menjadi Ramadan yang bermanfaat dan dapat mengubah kita menjadi muslim yang SUPER untuk diri dan orang sekeliling.

oleh;
AnaAdri

Ukhuwah | Tarbiah | Khidmah 

........................

Ikuti perkembangan kami di pautan berikut:

Facebook: https://www.facebook.com/IKRAMMesir/
Youtube: http://youtube.com/user/ikrammesir
Twitter: http://twitter.com/ikrammesir