IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

Hari Raya Kita Sepatutnya Bagaimana?

Email

 Pejam celik, kita hanya tinggal sehari sahaja lagi sebelum Ramadan berlalu pergi. Bagi sesetengah umat, hati justeru menangisi perpisahan bersama madrasah terulung ini. Bagi sesetengah yang lain, mindanya sudah jauh membayangkan persiapan raya Aidilfitri ; hiasan rumahnya, bajunya, dan susunan masa untuk menziarahi sahabat handainya. Barangkali saat maghrib tiba, dia langsung tersedar daripada lekanya menanti Syawal sehingga mengabaikan Ramadan yang berlalu tanpa menunggunya sesaat pun. Itulah lumrah manusiawi.

Sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM, perasaan hati saya bercampur baur. Separuh hati sibuk menyusun impian dan cita-cita seterusnya ke menara gading sedang separuh hati lagi sebak membayangkan masa-masa terakhir mengumpul kenangan dan pengalaman di sekolah yang semakin berkurangan dan terhad. Begitu jugalah keadaan hati tentang Ramadan dan Aidilfitri. Aidilfitri ialah hari konvokesyen bulan Ramadan. Ia merupakan satu simbolik perubahan ke satu tahap yang lebih baik daripada sebelumnya. Maka, ia merupakan satu keraian yang baik. Allah telah menceritakan tentang cara terbaik untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri ini dalam al-Quran.

Menamatkan Madrasah Ramadan dengan Cemerlang

Seperti hari konvokesyen yang lain, keberhasilan menempuh fatrah Ramadan dengan keputusan yang paling cemerlang ialah sasaran terulung yang menjadi idaman setiap penuntutnya. Indikator pencapaian sasaran terulung itu telah pun disebut oleh Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 185: شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

“Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan(permulaan) al- Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (QS. al-Baqarah: 185)

Indikasi 1: Membaca al-Quran

Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al- Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang batil)…

Seperti mana-mana madrasah, Ramadan juga mempunyai buku rujukannya. Allah telah menceritakan al-Quran sebagai satu manual petunjuk terbaik bagi umat seluruhnya. Tidak sedikit daripada manusia menjadikan Ramadan sebagai madrasah untuk lebih mendekatkan diri dengan Tuhan. Maka, al-Quran ialah sumber utama dan menghabiskan masa untuk mengkhatamkannya, membacanya, dan menghayatinya menjadi salah satu sebab kejayaan seseorang itu menempuhi Ramadan dan menjadi kriteria untuk menjadi graduan terbaik sewaktu Aidilfitri nanti.

Indikasi 2: Berpuasa pada Bulan Ramadan

..Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain...

Dalam setahun, Ramadan ialah waktu kita bersungguh cuba mematuhi perintah Tuhan. Kita berpuasa seharian dalam keadaan lapar dan dahaga. Kita menurut seruan azan tepat pada waktunya untuk berbuka. Kita membaca al-Quran setiap hari, kita berdiri solat lebih daripada yang fardu dengan melakukan tarawih dan witir. Tanpa kita sedar, dalam bulan Ramadan ini kita sudah pun meletakkan Allah sebagai satu bahagian yang besar dalam diri kita.

Objektif Madrasah Ramadan Itu untuk Memudahkan?

Ramadan datang daripada perkataan Ramad iaitu ‘ رماض ’ – yang membawa maksud ‘شدة الحار ’ (Shiddatul harr) atau keadaan yang terlalu panas. Sebulan Ramadan kita seolah begitu. Berjam-jam berpuasa menjadikan tekak kita haus, badan kita lesu, dan perut kosong kita sering kali menjerit "Aku lapar! Aku nak makan!" Seluruh badan kita menjadi panas. Tidak biasa. Tidak tahan. Seharian mandi sehingga 3-4 kali sehari demi melegakan badan. Sebulan kita menghadap penghawa dingin, di bawah kipas yang membelai badan. Namun, kita terus cuba mematuhi suruhan-Nya.

Bukan itu sahaja. Banyak perkara halal yang Allah haramkan sepanjang menjalani ibadah puasa. pada siang hari, Allah mengharamkan makan dan minum, malah melarang hubungan intim meski hubungan halal suami isteri. Namun peraturan madrasah ini, kita turutkan demi menurut perintah Tuhan.

Kemudian sebulan pun berlalu. Syawal pula tiba dengan meriahnya. Oleh sebab melakukan suruhan Tuhan itu dijalankan selama 30 hari berturut-turut, hati terasa janggal dan kosong apabila tiba-tiba berhenti. Badan yang terbiasa bangun untuk sahur, kini mudah dikejut untuk melakukan qiamullail sebelum subuh. Mata yang terbiasa kerling jam menunggu waktu berbuka, kini menjadi tabiat untuk bersedia menunaikan solat lebih awal daripada kebiasaannya. Rutin melancong ke masjid pada setiap malam untuk tarawih malah diteruskan pula untuk solat fardu 5 kali sehari dan begitulah seterusnya.

Maka pada hari raya, Syawal disambut dengan penuh bahagia kerana suruhan Tuhan yang sebelumnya berat dan sukar, kini seolah ringan dan mudah. Ibadahnya bertambah dan menjadi semakin dekat dengan Tuhan. Makanan dan hubungan yang haram kini lebih mudah ditepis tepi dek iman yang menggunung menahan diri. Apatah lagi apabila dikisahkan kebaikan saintifik puasa itu sendiri atau kebahagian memenangi malam lailatulqadar dan hadiah jutaan malaikat memayungi dan mengaminkan doa sepanjang pengembaraan selepas Madrasah Ramadan ini pergi. Graduan Aidilfitri menjadi graduan teragung saban tahun bagi manusia seluruhnya andai sahaja kita mengetahui. Subhanallah!

 Maka, Agungkanlah Tuhan.

..dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu,..

Maka kita mulakan hari konvokesyen kita ini dengan mengagungkan Tuhan. Laungan takbir ‘Allahu Akbar’ jelas kedengaran pada pagi raya yang penuh syahdu. Setiap kali ucapan ini dilaungkan, ia bertindak sebagai satu ikrar untuk meletakkan Allah sebagai perkara yang lebih utama. Perkataan ‘Akbar’ yang bermaksud ‘paling besar’ ialah satu simbolik perbandingan yang agung. Bahawa Allah itu Akbar daripada segalanya. Ikrar itu telah pun terbukti sepanjang menjalani madrasah Ramadan.

Sehari-hari kita dipenuhi dengan perbuatan menurut perintah Tuhan. Kita berpuasa, membaca al-Quran. Kita meninggalkan apa yang diharamkan-Nya. Kita beribadah untuk-Nya. Pada bulan Ramadan ini kita dididik dan dibawa mengenal Tuhan, dikurniakan petunjuk untuk mengambil kesempatan sebaiknya pada bulan Ramadan. Atas itu, kita justeru bertakbir sepenuh hati sepenuh jiwa dan raga.

Allah lebih Besar daripada urusan lainnya. Allah lebih besar daripada memikirkan manusia seisinya. Allah lebih Besar daripada segalanya. Allahlah Maha Besar. Tiada Tuhan melainkan Allah, Allahlah yang lebih Besar dalam hati dan jiwa kita. Allahlah yang Lebih Besar dan Utama! Dan hanya kepada Allah segala puji.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. La ilaha Illa Allah, Allahu Akbar, Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd.

Takbir ini justeru menjadi saksi atas dua perkara. Bahawa sepanjang sebulan kita berpuasa, dengan izin Allah, kita telah berjaya mengharungi ‘Ramad’ ini dengan merealisasikan Allah sebagai pasak utama. Kita bukan sahaja telah menundukkan badan dan nafsu kita pada seruan Tuhan, malah kita telah memerdekakan jiwa kita daripada menghambakan diri kita pada apa pun hatta diri kita sendiri. Takbir ini juga menjadi saksi bahawa sepanjang 11 bulan mendatang ; badan, nafsu, dan jiwa merdeka ini sangat bersedia dan bersiap siaga untuk terus berusaha meletakkan Allah sebagai perkara yang paling tinggi dan paling berharga.

Lalu, Bersyukurlah!

..supaya kamu bersyukur.

Bergembiralah. Bertakbirlah. Anda bakal berkonvokesyen. Seperti madrasah lainnya, fatrah Ramadan itu bukanlah apa-apa melainkan persiapan untuk seterusnya. Konvokesyen itu simbolik kepada satu permulaan perjalanan yang jauh lebih panjang. Tiada cara yang lebih baik untuk memulakan satu perjalanan itu kecuali dengan syukur. Firman Allah;- وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكُمْ لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ Dan tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu.." (Surah Ibrahim, 14: ayat 7)

Bersyukur dikurniakan peluang untuk bertemu Ramadan buat kesekian kalinya. Bersyukur diberi petunjuk untuk menggunakan Ramadan sebaiknya. Bersyukur menempuhnya dengan meletakkan Allah paling ‘Awla ; paling utama dan manifestasi kesyukuran yang paling baik ialah manifestasi kesyukuran terhadap mereka yang Allah hadirkan dalam hidup kita, pada ibu bapa yang mendidik kita, pada adik beradik, datuk nenek, dan sahabat handai yang sentiasa menemani kita, pada guru kita, jiran kita, atau mana-mana saudara jauh rapat yang mengenali kita. Syawal ialah bulan kita merdeka. Hilangkan ego dan bermaafanlah. Bersihkan wang kita dengan memberi zakat fitrah kepada yang tidak mampu. Infaqkan sebahagiannya juga untuk keluarga dan saudara terdekat.

Raikan Syawal kita kali ini dengan sepenuh hati. Jadikan Syawal kali ini sebagai satu permulaan baik untuk bulan-bulan yang mendatang. Bukanlah sambutan raya yang terbaik itu pada hiasannya atau pada infaqnya ataupun pada maafnya – tetapi pada merdekanya hati daripada sebarang hasad dengki dan kembalinya jiwa merindui sifat-sifat Ilahi yang pengasih, pemaaf, pemberi. Akhirnya, jadikan Syawal kali ini sebagai sebenar-benar Aidilfitri. Aidilfitri yang membawa maksud “sambutan kembali kepada fitrah” ; kembali kepada fitrah Ilahi dan fitrah manusiawi. Tahniah! Selamat berkonvokesyen. Selamat berhari raya. Semoga Allah merahmati kita semua.

Wallahua'lam.

Ukhuwah | Tarbiah | Khidmah 

........................

Ikuti perkembangan kami di pautan berikut:

Facebook: https://www.facebook.com/IKRAMMesir/
Youtube: http://youtube.com/user/ikrammesir
Twitter: http://twitter.com/ikrammesir