IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

Israk Mikraj; Sebuah Kembara Iman

Email

"Maha Suci (Allah) yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar Maha Melihat." (Al-Isra',16:1)

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas nikmat iman dan Islam, kita telah diberi peluang untuk memperingati tarikh Israk dan Mikraj. Jika diteliti intipati di sebalik mukjizat Rasulullah ini, peristiwa agung ini sebenarnya dapat membangkitkan nilai spiritual dalam diri seorang Muslim. Meskipun ahli sirah dan ulama hadis berbeza pendapat mengenai tarikh sebenar peristiwa ini berlaku, ia tidak bermaksud kita sebagai seorang Muslim harus berlepas diri untuk menggali ibrah di sebalik mukjizat agung ini.

Berdasarkan surah Al-Isra' ayat 1, 'Israk' bermaksud perjalanan Rasulullah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa di Al-Quds. Manakala 'Mikraj' pula ialah peristiwa Rasulullah dinaikkan dari Masjidil Aqsa ke lapisan langit tertinggi untuk bertemu dengan Allah SWT.

Berdasarkan penelitian peristiwa Israk dan Mikraj, terdapat beberapa input berharga yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian kita:

1) Bersabar dengan ujian pasti ada ganjarannya.

Israk dan Mikraj sebenarnya berlaku dalam keadaan Rasulullah sedang berhadapan dengan ujian dakwah dan hidup dahsyat. Ketika itu Baginda sedang menjalankan misi berdakwah di Thaif, sebuah tempat yang sedikit jauh dan sedikit asing bagi Baginda jika dibandingkan dengan kampung halamannya, Mekah. Malang sekali, penduduk setempat bukan sahaja tidak menerima dakwah Baginda, malah mereka menghina dan menyerang Baginda secara fizikal. Oleh sebab itu, Allah telah mengurniakan Israk dan Mikraj untuk Rasulullah agar diperkuatkan lagi keazaman Baginda. Persitiwa ini juga menjadi bukti bahawa ujian ialah sunnah dalam berdakwah. Berkat kesabaran dalam menempuh ujian yang dihadapi, Baginda telah dianugerahkan nikmat terbesar bagi seorang hamba; iaitu peluang untuk bertemu Sang Pencipta di Sidratul Muntaha.

Oleh itu, setiap pengikut Rasulullah, khususnya yang menjalankan tugas dakwah, haruslah bersabar dengan segala ujian yang dihadapi, sama ada ringan mahupun berat. Hal ini demikian kerana, sunnah berdakwah tidak terlepas daripada ujian. Semoga dengan berkat kesabaran itu, Allah menganugerahi kita nikmat untuk bertemu dengan-Nya di akhirat nanti.

2) Penyucian Jiwa

Konsep penyucian jiwa dapat kita pelajari semasa awal perjalanan Israk. Sebelum bermulanya Israk, Malaikat Jibril telah datang kepada Rasulullah, membelah dada Baginda, membersihkan hatinya dan kemudian meletakkan semula segalanya seperti sediakala. Sebenarnya, Jibril bukan sahaja hanya menyucikan, bahkan menambahkan iman dan hikmah ke dalam dada Rasulullah SAW melalui peristiwa ini.

Di sini dapat kita pelajari, seorang muslim khususnya para dai harus sentiasa menyucikan jiwanya supaya ilmu dan hikmah mudah diserap ke dalam diri. Dengan itu, iman dan semangat juang kita akan sentiasa terpelihara. Untuk bertemu Allah juga, seorang perlu dalam keadaan yang suci jiwanya.

3) Fenomena keagungan Allah SWT.

Kebanyakan kisah dalam peristiwa Israk dan Mikraj menzahirkan kebesaran Allah sebagai Zat Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Perjalanan Israk yang menyaksikan kemampuan Allah membawa Rasulullah dari Mekah ke Al-Quds dalam masa satu malam adalah amat menakjubkan, kerana kebiasaannya, 3 bulan perjalanan diperlukan dengan menaiki unta paling laju pada zaman itu! Kemudian, semasa Mikraj, Baginda diangkat dan melalui tujuh lapisan langit, seterusnya ke Sidratul Muntaha dan Baitul Makmur. Pada malam itu juga Baginda telah bertemu Rabbnya, disyariatkan solat lima waktu dan menyaksikan keadaan seksaan di neraka. Ya, semua perjalanan ini telah berlaku dalam satu malam sahaja. Jika difikir dengan logik akal, perkara seperti ini tidak mungkin berlaku. Namun, kerana Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, maka peristiwa seperti ini bukan lagi suatu yang mustahil.

Israk Mikraj merupakan sebuah kembara iman yang telah menambahkan keimanan Rasulullah melalui penyaksian tanda-tanda kebesaran Yang Maha Agung. Oleh sebab itu, setiap kali kita diperingatkan tentang peristiwa Israk dan Mikraj, seharusnya kita sebagai seorang Muslim harus semakin bertambah iman dalam menghayati kembara agung ini. Sepertimana Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah membenarkan kata-kata Nabi Muhammad SAW ketika ramai mengingkarinya, kita juga harus mempercayai dan membenarkan peristiwa agung yang kaya dengan ibrah ini.

Semoga perstiwa Israk Mikraj ini menjadi lonjakan buat kita untuk mempertingkatkan diri dengan iman, amal serta hikmah. Sangatlah rugi bagi seorang Muslim jika peristiwa Israk Mikraj ini dibiarkan berlalu tanpa penghayatan dan pembangkitan iman.

Semoga peristiwa Israk Mikraj juga dapat menjadi modal spiritual bagi seluruh umat Islam sebelum menghadapi bulan suci Ramadan.

Akhir kata, saya mewakili seluruh pimpinan Kelab IKRAM Mesir sesi 2016/2017 mengucapkan “Selamat Menyambut Israk Mikraj 1438H” kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di bumi Mesir. Mari bersama kita berusaha menjadi insan rabbani berjiwa kental dan murni.

Syukriah Sakinah Ahmad Fauzi
Timbalan JKP Dakwah
Kelab IKRAM Mesir 2016/2017


Ukhuwah | Tarbiah | Khidmah 

........................

Ikuti perkembangan kami di pautan berikut:

Facebook: https://www.facebook.com/IKRAMMesir/
Youtube: http://youtube.com/user/ikrammesir
Twitter: http://twitter.com/ikrammesir