IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

Peperiksaan; Satu Perjuangan buat Ummah

Email

Bismillah. 

Hari berganti hari, kini waktu kemuncak pembelajaran sudah pun tiba. Musim peperiksaan akhir tahun bagi kebanyakan mahasiswa di bumi Mesir secara rasminya bakal bermula pada bulan Mei dan berlanjutan sehingga bulan Jun.

Peperiksaan bukanlah suatu bebanan yang sia-sia, bahkan suatu perjuangan dalam menggapai cita-cita yang mulia. Fatrah peperiksaan kadang-kadang menguji niat asal kita dalam menuntut ilmu, juga menguji semangat dan istiqamah dalam meneruskan perjuangan.

Namun, yakinlah bahawa Allah tidak pernah mensia-siakan usaha hamba-Nya yang bermujahadah dalam meraih kecemerlangan demi menegakkan agama-Nya di muka bumi ini.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut, ayat 69;

"Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredaan Kami, Kami akan tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sungguh, Allah beserta orang-orang yang berbuat baik."

Maka, marilah bersama-sama kita persiapkan bekal bagi menghadapi musim peperiksaan yang lebih produktif pada tahun ini dengan:

1. Perbaharui niat.

Jadikanlah Allah sebagai paksi utama dalam kita berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan meraih kecemerlangan dalam peperiksaan supaya perjuangan ini tidak sia-sia di dunia ini mahupun di akhirat nanti.

2. Pupuk sifat ihsan.

Menghadirkan rasa setiap perbuatan kita dilihat oleh Allah sepatutnya menjadikan kita rasa malu untuk bermalas-malasan dalam mengulang kaji pelajaran.

3. Sentiasa itqan.

Apabila kita sudah meniatkan perjuangan ini untuk meraih reda Allah, maka kita hendaklah memberi usaha yang terbaik, bukan usaha yang sisa.

4. Merancang dengan pelaksanaan.

Susun jadual belajar yang realistik dan pastikan pelaksanaannya berlaku.

5. Jaguhkan diri!

Menangkan diri sendiri melawan nafsu yang mengajak untuk bermalas-malasan dan melawan segala perkara yang mengganggu konsentrasi kita dalam mengulang kaji pelajaran. Cari dan laksakanlah tips yang dapat membantu kita dalam memberi fokus yang maksima sepanjang musim peperiksaan.

6. Jaga kesihatan.

Ambillah pemakanan yang sihat dan seimbang supaya kita lebih bertenaga dan bersemangat dalam mengulang kaji pelajaran. Elakkan daripada mengambil makanan ringan tetapi jadikanlah buah-buahan sebagai snek untuk mengelakkan daripada rasa mengantuk.

7. Tunaikan hak dan tanggungjawab.

Musim peperiksaan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kita tidak menunaikan tanggungjawab harian kita sebagai seorang hamba, anak, kawan, dan sebagainya. Berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan dan menunaikan hak yang sepatutnya supaya menjadi asbab untuk doa kita lebih diterima dan dipermudahkan urusan menghadapi peperiksaan.

8. Restu, doa, dan tawakal.

Musim peperiksaan sepatutnya menjadikan kita hamba yang lebih taat dan berlumba-lumba dalam melaksanakan ibadah. Perbanyakkan berdoa dan gantungkanlah tali pengharapan yang penuh kepada Allah SWT. Selain itu, restu ibu bapa dan guru juga patut dititikberatkan sepanjang musim peperiksaan.

Buat para mahasiswa yang bakal menghadapi peperiksaan, ambillah peluang musim peperiksaan ini sebagai medan untuk kita melatih disiplin diri dalam menggapai cita-cita dan impian. Kondisi umat ini menuntut kita untuk cemerlang dalam pengajian walau apapun bidangnya, maka berusahalah untuk memenuhi tuntutan ini dengan usaha yang itqan, doa yang penuh tawaduk, dan tawakal yang total kepada Ilahi.

Dalam kesempatan ini, saya mewakili Jawatankuasa Pusat Kelab IKRAM Mesir mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan akhir tahun buat mahasiswa di Mesir dan mendoakan kecemerlangan buat semua supaya dapat menyumbang sesuatu untuk kemenangan Islam di muka bumi ini.

"Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada yang akan dapat mengalahkanmu....." (Ali Imran, 3:160)

Dan kerana Tuhanmu, cemerlanglah!

Aisyah Syahira binti Abdul Hamid
Timbalan Presiden
Kelab IKRAM Mesir 2016/2017

Ukhuwah | Tarbiah | Khidmah 

........................

Ikuti perkembangan kami di pautan berikut:

 

Facebook: https://www.facebook.com/IKRAMMesir/
Youtube: http://youtube.com/user/ikrammesir
Twitter: http://twitter.com/ikrammesir