IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

GAZA: APA CERITA?

Email

MADINAH NASR, Kaherah – Kapasiti Dewan Masjid Tantawi, Hayy Sabi', Kaherah yang sebelum ini hanya mampu memuatkan 300 orang sahaja, telah dibanjiri kira-kira 500 hadirin yang datang dari seluruh pelusuk Mesir untuk mendengar perkongsian ‘Gaza : Apa Cerita?’ bersama duta Aqsa Syarif Afdlin Shauki, Zain Saidin, Bront Palarae dan ahli rombongan Aqsa2Gaza11 - Emergency Relief (A2G11-ER) pada 9 Disember 2012. 

Majlis dimulakan dengan perkongsian oleh Ustaz Haris Baim, peserta misi Aqsa2Gaza10 – Emergency Relief (A2G10-ER) yang ditinggalkan sementara di Gaza untuk membantu misi A2G11-ER. Beliau turut menunjukkan bantal yang mempunyai kesan darah As-syahid Abdurrahman Shehab dan lukisan yang dilukis kepada kanak-kanak Palestin oleh Afdlin Shauki.

"Kehadiran saya ke Gaza, tiada kena-mengena pun dengan Bront Palarae, tetapi saya pergi sebagai Nasrul Suhaimin," ayat pembuka oleh salah satu duta Aqsa Syarif Malaysia yang lebih dikenali sebagai Bront Palarae, mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Beliau berkongsi tentang 'double injustice' terhadap penderitaan penduduk Gaza, orang luar yang datang dan 'merompak' tanah mereka, mereka melawan mempertahankan tanah air mereka sendiri tetapi dicop pula sebagai ekstrimis dan pengganas.

Bagi duta Aqsa Syarif yang lain, saudara Zain Saidin pula menceritakan tentang perasaannya yang terkejut dengan reaksi penduduk Gaza yang sangat optimis. Beliau menyangka penduduk Gaza akan berada dalam keadaan marah dan sedih dengan apa yang menimpa mereka tetapi meleset sama sekali. Sebaliknya, mereka tetap yakin akan dapat merebut semula bumi Palestin dari Israel.

Mula bercerita tentang sahabatnya yang banyak mempengaruhi Afdlin untuk betul-betul cakna tentang isu Palestin, beliau sehinggakan tidak tidur malam semata-mata mahu mengetahui dan memahami isu dan konflik Palestin dengan melihat video dan membaca artikel berkaitan dengan Palestin. Selain bercerita tentang pengalaman beliau semasa di Gaza, beliau menyatakan rasa selamat dan tenang bila berada di Gaza, rasa seperti berada di rumah sendiri.

Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Ustazah Maznah Daud yang juga turut serta dalam misi A2G11-ER ini menceritakan tentang kisah Ummu Ridhuan, seorang ibu yang tidak bersedih kehilangan lima anaknya yang syahid dan Ummu Nidal, seorang ahli parlimen wanita di Palestin. Ummu Nidhal memberitahu mereka berada di barisan hadapan untuk mempertahankan tanah Palestin, dan kamu memberi bantuan kepada kami dari pelbagai aspek, yang pahalanya sama dengan pahala jihad di Palestin.

Kilang roti yang diwujudkan di Gaza melalui Aqsa Syarif menjual roti dengan tiga harga untuk tiga golongan, untuk golongan yang berkemampuan membeli mengikut harga pasaran, golongan yang kurang berkemampuan membeli mengikut harga kos dan golongan yang tidak mampu akan diberikan secara percuma. Yang menarik, mereka secara jujurnya mengisytiharkan mereka dari golongan yang mana dan tidak cuba menipu atau mengambil roti secara percuma.

Bront mengatakan penduduk Gaza ini mempunyai iman dan maruah yang menyebabkan mereka berkelakuan sedemikan rupa. Ustazah menambah, kalau kita menolong rakyat Palestin dari segi ekonomi mereka, kita tolong pula rakyat Malaysia dari segi menaikkan iman dan maruah mereka.