IKRAM Mesir

Profile

Menu Style

Cpanel
 
 
 
 
 
 
 
 

Majlis Penutupan TARAWIH '17 Berlangsung Meriah

Email

 TANTA, 24 Jun 2017 - Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan program TARAWIH'17 Tanta untuk dilaksanakan dengan baik sejak awal pelancarannya. Pada tarikh ini bersamaan hari Sabtu, 29 Ramadan 1438H telah menyaksikan berakhirnya program TARAWIH'17 Tanta. TARAWIH'17 Tanta merupakan program penghayatan Ramadan seiring dengan pelaksanaan TARAWIH'17 oleh Kelab IKRAM Mesir di muhafazah lain.

 


Upacara penutup besar-besaran itu telah dimulakan dengan Majlis Khatam al-Quran untuk akhawat pada sebelah petang di Imarah MM Tanta sebagai majlis penutup program tadarus al-Quran yang dijalankan secara mingguan sepanjang Ramadan. Sedikit cenderahati berupa air minuman, biskut cip coklat, dan duit raya juga diberikan kepada peserta yang hadir.

Menjelang berbuka pada waktu Maghrib, para pelajar ikhwah dan akhawat semakin ramai yang hadir untuk menyertai program Iftar Perdana pula. Walaupun ada yang bersedihan tidak mendapat peluang meraikan hari raya bersama keluarga di Malaysia, namun keceriaan tetap terukir apabila perkumpulan sebegini diadakan bagi mewujudkan suasana sambutan raya di Malaysia walaupun berada di perantauan.

Program diteruskan pula dengan Malam Gema Takbir setelah selesai solat Isya'. Gema takbir yang dilaungkan sedikit sebanyak dapat mengajak para pelajar untuk merefleksi diri tentang Ramadan yang baru sahaja berlalu dan menghayati erti kemenangan menjelang Syawal.

Tiadalah program TARAWIH'17 Tanta ini dilaksanakan melainkan dengan harapan supaya TARAWIH'17 Tanta dapat melahirkan hamba-hamba yang lebih taat dan dekat kepada Penciptanya yang Esa. Terlalu banyak kurniaan nikmat Rabb kita yang mustahil untuk kita balas, maka bersyukurlah dan gunakanlah nikmat sebaiknya!


TARAWIH'17 Tanta berakhir dengan Jamuan Hari Raya pada sebelah malam, 25 Jun 2017. Jamuan ini dihadiri ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia di Tanta dan beberapa pelajar dari muhafazah luar. Ketupat, rendang, lontong, sate, dan pelbagai lagi makanan tradisi Malaysia yang lain dihidangkan untuk tetamu yang datang.

Tambahan itu, tetamu juga turut dihadiahkan dengan sejumlah duit raya dengan harapan sedikit sebanyak dapat membantu pelajar menampung kos sara hidup harian. Jamuan ini diserikan lagi dengan hiasan bertemakan Syawal yang disediakan oleh pelaksana program TARAWIH'17 Tanta seperti sudut fotografi dan dedikasi ucapan raya.

Jutaan terima kasih dan jazakumullahu khairan kathira diucapkan kepada para pelajar Tanta dan para penyumbang dana sepanjang program, bahkan buat para penggerak TARAWIH'17 Tanta. Tanpa kalian, nescaya TARAWIH'17 Tanta tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Taqabbalallahu minna wa minkum, kullu am wa antum bi khair. Semoga Allah menerima amal-amal kita semua dan semoga kebaikan buat kita sepanjang tahun. Ameen ya Rabb!

Salam lebaran, mohon maaf zahir dan batin!

Ukhuwah | Tarbiah | Khidmah 

........................

Ikuti perkembangan kami di pautan berikut:

Facebook: https://www.facebook.com/IKRAMMesir/
Youtube: http://youtube.com/user/ikrammesir
Twitter: http://twitter.com/ikrammesir